Hukum Minum Air Ketum




عن عائشة رضي الله عنها: أن النبي صلي الله عليه وسلم سئل عن البتع, فقال: (كل شراب أسكره فهو حرام) .
البخارى
Diriwayatkan daripada Aishah r.a: bahawasanya Nabi s.a.w pernah ditanya tentang al-bit’ie (khamar daripada madu) maka bersabda ia: (Setiap minuman yang memabukkan adalah haram).(Riwayat Bukhari)

Sumber Hadith: Sahih Bukhari , Kitab al-asyribah, Bab al-bit’u (arak daripada madu), No 5157.
Hadith ini dikeluarkan oleh Bukhari. Yahya bin ma,in mengatakan hadith ini merupakan yang paling sahih diriwayat daripada nabi tentang pengharaman khamar.


1.1 MAKNA IJMALI

Nabi s.a.w pernah ditanya tentang hukum minuman daripada madu yang memabukkan, lalu baginda menjawab secara umum dan menyeluruh iaitu “setiap minuman yang memabukkan adalah haram”. Dalil ini menunjukkan bahawa tidak diambil kira berlainan nama selagi makna dan hakikatnya adalah satu iaitu memabukkan, walaupun diperbuat daripada mana-mana bahan yang cair atau keras maka hukumnya haram .

Hadis ini menjadi dalil bahawa hukum arak adalah haram, walaupun ia diperbuat selain daripada perahan anggur seperti madu, gandum dan sebagainya yang boleh membawa kepada seseorang itu mabuk kerana meminumnya.

1.2 TAKRIF ARAK DAN AL-BIT’U

Arak (khamar) ialah air perahan yang mentah daripada perahan buah anggur yang boleh memabukkan, Ia dinamakan al-khamar (tutupan) kerana kerana ia menutup akal. Jumhur Fuqaha’ tidak pula membezakan antara meminum arak dan minuman lain yang memabukkan, mereka mengatakan semua minuman yang memabukkan apabila diminum dengan banyak, maka sedikitnya juga adalah haram, dan ia adalah merupakan arak (khamar). Hukumnya sama seperti hukum manisan buah anggur dari segi pengharamanya, dan diwajibkan had terhadap peminumnya. Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

( كل مسكر خمر, وكل خمر حرام )

“setiap yang memabukkan adalah arak, dan setiap arak adalah haram”

Al-Bit’u adalah minuman daripada madu yang boleh memabukkan. Berdasar Mu’jam al-Wajiz al-bit’u adalah arak madu . Sayid sabiq didalam mensyarakan hadis al-bitu, beliau menjelaskan al-bit’u adalah sejenis ubat menjadikan seseorang itu kuat dan bertenaga tetapi boleh memberi kesan seseorang itu mabuk dan khayal .

Setiap sesuatu yang memabukkan adalah termasuk didalam kategori khamar. Oleh itu, tidaklah menjadi persoalan tentang daripada mana asal minuman arak tersebut diperbuat. Maka setiap hukum yang ada pada khamar juga diguna pakai juga pada minuman tersebut samada ia diperbuat daripada anggur, kurma, madu, gandum, biji-bijian dan sebagainya dan hukumnya adalah haram secara mutlak.

Dalam Qanun jenayah syar’iyyah, seseorang yang telah sabit kesalahan minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan, sama ada dia mabuk atai tidak, wajib dikenakan hukuman sebat tidak lebih dari 80 kali sebat dan tidak tidak kurang dari 40 kali sebat. Hukuman ini adalah berdalilkan hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Thalib r.a yang bermaksud:

”Rasulullah s.a.w telah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali sebat, dan Saidina Abu Bakar telah menyebat sebanyak 40 kali sebat juga, dan Saidina Umar menyebat sebanyak 80 kali sebat. Semuanya adalah sunnah Rasulaullah s.a.w. dan inilah yang paling akau suka”

2.1 KEFAHAMAN HADITH

Diharamkan meminumnya sedikit atau banyak, kecuali ketika terpaksa. Sabda nabi s.a.w
حرمت الخمر بعينها قليلها وكثيرها, والسكر من كل شراب))

Terjemahan: “Khamar itu sendiri diharamkan, sama ada sedikit mahupun banyak serta semua minuman yang memabukkan”.

Bagaimanapun, ia diharuskan meminumnya ketika terlalu dahaga atau atas paksaan sekadar untuk menolak bencana. Diharamkan juga kepada seseorang memberi minum kepada kanak-kanak yang belum baligh dan mumayyiz . Sekiranya kanak-kanak itu diberi minum maka dosanya keatas orang member minum, kerana hukum pengharaman arak dituju kepadanya.
Orang yang menghalalkanya dihukum kafir, kerana pengharamannya adalah sabit dengan dalil yang putus (qat’i), iaitu nas al-Quran al-karim dalam ayat al-Quran iaitu Allah S.W.T berfirman:

إنما الخمر والميسر والأنصاب والأزلام رجس من عمل الشيطان فاجتنبوه لعلكم تفلحون

90. Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. (Surah Maidah: ayat

90)
Khamar adalah najis mughalazah mengikut satu riwayat daripada Abu Hanifah. Sehinggakan apabila ia terkena pada pakaian (mengikut pendapat ulama hanafi) lebih besar daripada kadar dirham, maka tidak harus pakaian itu digunakan untuk menunaikan solat.

Syeikh Wahbah Zuhaili menjelaskan makna kalimah (rijsun) membawa maksud ‘najis maknawi’ pada pandangan syara’. Perintah menjauhinya menunjukkan bahawa ia patut dihindari sedaya upaya. Jumhur Ulama’ telah menghukumkan khamar wajib dijauhi dan mencegah daripada menghampirinya. Dalil yang menunjukkan arak itu najis ialah hadith Abu Tha’labah al-Khashani katanya “ Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berada dinegeri ahli kitab, adakah boleh kami makan dalam bekas-bekas mereka? Lalu nabi Muhammad s.a.w bersabda:

وجدتم غيرها فلا تأكلوا فيها, وان ام تجدوا فاغسلوا وكلوا فيها ان

“Jika kamu dapati bekas lain, maka janganlah kamu makan dalamnya, dan jika kamu dapati tidak ada bekas lain, maka basuhlah bekas mereka dan bolehlah kamu makan didalamnya”
Al-Shaukani berkata “suruhan membasuh bekas-bekas tersebut dalam hadith Abu Tha’labah bukan kerana ia kotor disebabkan kebasahan dan lendir, bahkan kerana mereka mengunakanya untuk memasak babi dan meminum khamar”.

Diharamkan perkara-perkara yang ada padanya kemudharatan dan kebinasaan kepada akal, agama, badan, harta serta membawa kepada jenayah, permusuhan dan kejahatan.Diharamkan juga bermuamalah dengan perkara-perkara yang melibatkan arak seperti menjual, membeli dan sebagainya .Sabda nabi s.a.w .

الله الخمر وشاربها وساقيها وبائعها ومبتاعها وعاصرها ومعتصرها وحامها والمحمولة إليه ,أكل ثمنهالعن

“Allah melaknati khamar, peminumnya, penyajinya, penjualnya, pemiliknya, pemerahnya, tempat perehanya, pembawanya, orang yang dibawa kepadanya dan orang mengambil harganya”.

Para imam daripada mazhab empat berpendapat, adalah haram mengunakan arak atau bahan yang memabukkan bagi tujuan perubatan dan tujuan lain. Ini kerana Allah s.w.t tidak menjadikan ubat bagi kita pada sesuatu yang diharamkan, sabda Nabi s.a.w yang bermaksud

“Sesungguhnya Allah s.w.t tidak menjadikan sesuatu yang diharamkan keatas kamu sebagai ubat”. Hadith ini menunjukan penharaman berubat dengan bahan-bahan yang telah diharamkan oleh Allah s.w.t dan Dia tidak akan menjadikanya ubat penyembuh. Oleh itu apabila khamar diharamkan, maka perubat denganya juga adalah haram .

Khamar yang bertukar menjadi dengan sendirinya menjadi cuka adalah halal hukumnya tanpa khilaf , berdasarkan sabda Nabi Muhammad s.a.w “ الإدام الخلنعم " “sebaik-sebaik penyedap makanan adalah cuka”.

2.1 CIRI-CIRI MABUK

Ciri-ciri mabuk adalah yang menghilangkan akal, iaitu pemabuk tidak dapat memahami sesuatu pun, akalnya tidak berfungsi, tidak dapat membezakan antara lelaki dan perempuan, atau langit atau bumi . Sementara itu, Imam Abu Yusuf dan Muhammad serta imam-imam lain berkata

“pemabuk ialah orang yang banyak percakapanya meracau dan bercampur aduk tidak menentu, sebab itu ialah mabuk pada lumrah (‘uruf) dan kebiasaan manusia. Sesungguhnya pemabuk pada pengetahuan manusia ialah nama bagi orang yang meracau, bercampur aduk percakapanya, tidak dapat mengenal pakaianya dan pakaian orang lain dan tidak dapat membezakan antara kasutnya dan kasut orang lain” .

3.1 ISU SEMASA: PENYALAHGUNAAN AIR KETUM

KUALA TERENGGANU 14 Feb. - Gejala meminum air rebusan daun ketum yang dicampur dengan ubat lipas dan ubat nyamuk, dipercayai semakin menular di kalangan remaja penagih dadah seperti morfin dan heroin .(Utusan,14 Feb 2004).

Dikesan sebagai usaha terbaru mereka melepaskan gian ekoran kesukaran mendapatkan dadah dan pil-pil khayal. Di Malaysia sejak Ogos 2004, pemilikan daun ketum,pemprosesan atau jualan boleh dituduh di bawah Sek. 30(3) Akta Racun 1952, dan didenda sehingga RM10,000 dan/ atau dipenjarakan selama 4 tahun. Nama saintifik – Mitragyna Speciosa Korth

Dikenali sebagai daun ketum atau biak di Malaysia atau kratom, ithang, kakuan dan thom di Thailand . Tumbuhan daripada Famili Rubiacaea (sepertimana pokok kopi). Didapati di kawasan tropika Asia khususnya utara dan pantai timur semenanjung malaysia dan di tengah dan selatan thailand . Tumbuh di kawasan subur, lembap dan teduh. Ketinggian pokok sehingga 50 kaki.
Dikenali sebagai salah satu ubatan tradisional dan menjadi sumber tenaga semulajadi kepada para petani di kedah. Namun disalah gunakan oleh remaja sekarang .

Ia juga baik untuk pemulihan penagih dadah kerana rata-rata penagih di kedah sudah beralih dengan meminum daun ketum untuk menghilangkan ketagihan kerana ia murah. Dikata mengandungi Mitragynine sejenis bahan aktif yang berupaya menjadikan seseorang itu ketagih .
Mitragynine merupakan sebatian aktif yang banyak terdapat di dalam daun ketum. Ia sejenis alkaloid yang hampir menyerupai yohimbin, psilosibin dan lysergic acid diethylamide-LSD. Sebatian-sebatian ini mempunyai kesan rangsangan dan psikoaktif terhadap penggunanya. Mitragynine mewakili hampir separuh daripada 0.5 peratus kandungan alkaloid yang berada di dalam daun ketum. Terdapat sekurang-kurangnya 24 alkaloid lain yang telah dikenalpasti. Antaranya ialah ajmalicine, corynanthedine, mitraphylline, mitraversine, isomitraphylline, paynanthesine, speciophylline, speciofoline dan speciogynine .

Banyak kekeliruan berlaku didalam masyarakat didalam menentukan status hukum bagi minuman ini, dan ia masih lagi diperbahaskan oleh pihak tertentu termasuk penguasa dan institusi agama tentang hukum yang sewajarnya dikenakan mengikut kehendak syara’. Oleh yang demikian saya berminat untuk memilih tajuk ini bagi mengetahuinya secara lebih terperinci.

3.2 KELOMPOK PENGGUNA

Terdapat dua golongan yang dikesan sebagai pengguna daun ketum. Pertama adalah penguna sebenar iaitu sebagai pengamal ubatan tradisional yang berbentuk air rebusan asli atau dijadi kapsul. Ia diguna untuk tujuan pengubatan seperti mencegah masalah cirit-birit, kecacingan, penahan sakit, mengembali tenaga selepas bersalin dan penyembuh luka.

Kelompok kedua adalah remaja yang menyalah gunakan daun ketum untuk melepaskan gian mengantikan dadah. Di Malaysia, penyalahgunaan daun ketum ini semakin menular terutamanya dalam kalangan penagih dadah seperti morfin dan heroin.Ini disebabkan, selain mempunyai kesan penenang, ia juga dikatakan berupaya menghilangkan kesan sindrom penarikan (withdrawal syndrome) untuk jangka masa yang singkat.

Memandangkan kesan seperti mengambil heroin dan morfin daripada daun ketum hanya mampu bertahan selama 3-4 jam, para penagih terpaksa mengambil rebusan daun ketum secara lebih kerap dan dalam jumlah yang banyak untuk mengurangkan kesan gian terhadap morfin atau heroin. Keadaan inilah yang menyebabkan penagih mula menagih daun ketum pula.

Oleh kerana daun ketum mudah didapati secara percuma di negara ini, maka penyalahgunaannya juga menjadi semakin berleluasa. Saya mendapati masalah ketagihan air daun ketum banyak dilaporkan di Terengganu, Perak, Pahang dan Kelantan.

3.2 CARA PENYALAHGUNAAN/PEMPROSESAN

Pada asalnya ia direbus oleh para petani untuk dijadikan minuman tenaga bagi mengurangkan kesakitan urat dan menambah tenaga. Tetapi ia disalah gunakan oleh remaja untuk mengantikan dadah kerana kos yang lebih murah . Cara penyediaanya agak berbeza berbanding penggunaan tradisional iaitu dengan cara merebus air ketum bersama ubat nyamuk serta ubat lipas untuk diminum. Serbuknya juga dihisap bersama candu dan tembakau dan juga boleh diletakkan pada lidah untuk kesan gian. Kebiasanya mereka boleh mendapatkan air ketum dengan harga RM2-3 sebungkus kecil.

3.3 ASPEK KESIHATAN

Mengikut kajian daun ketum mengandungi banyak bahan aktif antaranya mitragynine yang memberi kesan gian dan ketagihan kepada penggunanya. Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada kesihatan kita mengikut kuantiti ia digunakan. Kesan Dos Rendah iaitu mengunakan beberapa helai daun sahaja dapat menghalang motivasi seseorang, ketiadaan minat pada sesuatu, bosan dan malas.

Kesan pada tahap stimulan (dos sederhana) iaitu dengan mengunakan 5-9 helai daun dapat memberi kesan positif seperti Minda tangkas, peningkatan tenaga fizikal dan batin, peningkatan tenaga fizikal dan batin, suka bercakap, ramah, dan suka bergaul. Namun disamping itu ia juga memberi kesan negatif seperti kurang sensitif terhadap kesakitan fizikal dan emosi , hilang dalam alam mimpi, merasa gatal atau berpeluh, anak mata menjadi sempit dan merasa loya.

Mengikut kajian yang dijalan oleh Hospital Universiti Sains Malaysia kesan bagi pengguna kronik (10-30 helai) adalah amat banyak diantaranya Anoreksia dan seterusnya kehilangan berat badan Jaundis (penyakit hati), Insomnia (payah tidur), psikosis (gila), Banyak tidur, Hilang keupayaan untuk bekerja, Takikardia (denyutan jantung menjadi cepat) dan delusi paranoid (khayalan buruk-sangka) disamping kulit menjadi gelap terutama dibahagian pipi.
Secara keseluruhanya air daun ketum banyak memberi kesan negatif berbanding positif jika ia disalah guna dan untuk tujuan perubatan ia hanya memerlukan berapa helai sahaja. Dan tidak dicampurkan dengan bahan lain.

4.1 ANALISIS ISU DAN KESIMPULAN

Ganja, heroin, air ketum serta bentuk lainnya baik padat mahupun cair yang terkenal dengan sebutan mukhaddirat (narkotik) adalah termasuk benda-benda yang diharamkan syara' tanpa diperselisihkan lagi di antara ulama.

Pengharaman air daun ketum juga berdasarkan hadith al-bit’u, kerana ia termasuk kategori (khamar) yang memabukkan iaitu menutup akal. Umar r.a berpendapat “khamar ialah segala sesuatu yang menutup akal”.

Barang-barang tersebut, seandainya tidak termasuk dalam kategori khamar atau "memabukkan," maka ia tetap haram dari segi "melemahkan" (menjadikan loyo). Imam Abu Daud meriwayatkan dari Ummu Salamah "Bahwa Nabi saw. melarang segala sesuatu yang memabukkan dan melemahkan (menjadikan lemah)." Adapun orang yang mengatakan bahwa masalah ganja dan air ketum ini tidak terdapat ketentuan hukumnya dalam Al-Qur'an dan hadits, maka pendapatnya ini hanyalah disebabkan kebodohannya. Sebab di dalam Al-Qur'an dan hadits terdapat kalimat-kalimat yang simpel yang merupakan kaidah umum dan ketentuan global, yang mencakup segala kandungannya. Hal ini disebutkan dalam Al-Qur'an dan al-hadits dengan istilah 'aam (umum). Sebab tidak mungkin menyebutkan setiap hal secara khusus (kasus per kasus)."

Dengan demikian, nyatalah bagi kita bahwa ganja, opium, heroin, morfin, air ketum dan sebagainya yang termasuk makhaddirat (narkotik) --khususnya jenis-jenis membahayakan yang sekarang mereka istilahkan dengan racun putih-- adalah haram dan sangat haram menurut kesepakatan kaum muslim, termasuk dosa besar yang membinasakan, pengisapnya wajib dikenakan hukuman, dan pengedar atau pedagangnya harus dijatuhi hukuman mati, karena ia memperdagangkan ruh umat untuk memperkaya dirinya sendiri.

Kesimpulannya,agama islam sangat memgambil berat terhadap jiwa dan jasad manusia. Oleh itu, terdapatnya hukum halal dan haram adalah antara tujuannya untuk menjamin seseorang itu terus hidup dan menghindari sebarang bencana terhadap jiwa (nyawa) dan akal . Ini adalah kerana bagi membolehkan seseorang itu terus dapat melaksanakan segala kewajiapan yang disyariatkan kepadanya dengan sempurna.

RUJUKAN

1. Fikih Sunnah, Sayyaid Sabiq.
2. Taisir al-Allam Syarh U’mdatul al-ahkam, Syeikh Abdullah al-Bassam.
3. Fiqh dan Perundangan Islam, Wahbah al-Zuhaili.
4. Fatwa-fatwa Kontemporer, Syeikh Yusuf al-Qardhowi.
5. Halal dan haram, syeikh Yusuf al-Qardhowi.
6. Utusan Malaysia
7. www.halalguide.com
8. www.aadkpp.gov.my
9. www.wikipedia.org
10. www.usm.my




#sumber : http://kzamusa.blogspot.com

Post a Comment

2 Comments

terima kasih kerana meluangkan masa membaca dan meninggalkan komen.