Pengendali khidmat mikromobiliti yang terbesar di Asia Pasifik, Beam Mobility, telah melancarkan gudang sentral miliknya untuk negara Malaysia yang beralamat di Subang Jaya, Selangor bagi menampung perkembangannya di sini. Gudang sentral berkeluasan 8,000kps tersebut memenuhi keperluan operasi Beam di Selangor, yakni dalam menjamin bekalan yang stabil bagi bateri-bateri bercas penuh serta penyelenggaraan perkakasan bagi kenderaannya yang berada dalam operasi. Di samping itu, ia akan memainkan peranan yang penting dalam jaringan gudang sedia ada milik Beam, berfungsi sebagai hab pengedaran, baik pulih, dan ujian perkakasan yang utama di Malaysia, selain turut menjadi hab utama bagi menerima penghantaran dari luar negara dan bagi penghantaran alat ganti ke gudang-gudang Beam yang lain di seluruh Malaysia.
Gudang Bukti Komitmen Beam
Buat masa ini, Beam menjalankan operasi di bandar-bandar Malaysia yang termasuk Kuala Lumpur, Ampang Jaya, Petaling Jaya, Shah Alam, Kuantan, serta Langkawi, dan terus memberi perkhidmatnya untuk membawakan pengalaman mikromobiliti yang selamat lagi menarik buat pelbagai lapisan masyarakat. Beam ditunjangi oleh tenaga kakitangan sepenuh masanya yang meliputi para juruteknik dan penyelia bagi mengoperasi gudang berkenaan. Tambahan lagi, pelancaran gudang sentral ini juga dijangka dapat menambah peluang pekerjaan dalam ekonomi sambilan.
“Gudang ini membuktikan komitmen Beam untuk terus melabur di Malaysia. Menerusinya, kami dapat memiliki rantaian bekalan yang efisien bagi perkhidmatan Beam, di samping terus mencipta aneka peluang pekerjaan, khususnya dalam ekonomi sambilan negara. Kami ingin meluaskan lagi operasi Beam dan terus memberi khidmat kepada warga Malaysia menerusi kaedah pengangkutan alternatif yang mereka boleh yakini,” ujar Justin Tiew, Pengurus Besar Beam Mobility Malaysia.
Selain memainkan peranan yang penting dalam jaringan gudang sedia ada milik pengendali khidmat mikromobiliti tersebut, gudang sentral baharu ini juga diunjurkan akan menservis 30 buah e-skuter Beam setiap hari secara purata. Ia akan memastikan e-skuter Beam sentiasa berada dalam kondisi yang baik dan selamat untuk digunakan. Untuk makluman, setiap e-skuter didatangkan bersama aneka teknologi serba inovatif, yang akan diselenggara secara berkala bagi menjamin tahap keselamatan yang tertinggi.
Setiap e-skuter didatangkan bersama peranti penjejakan GPS IoT dan sebuah sistem khas untuk membolehkan Beam memantau kenderaan berkenaan, yang akan menggera pasukan Beam jika ia perlu dibawa pulang ke gudang tersebut untuk diselenggara. Peranti IoT ini membolehkan Beam mengenal pasti e-skuter mana yang memerlukan perhatian, lokasinya, serta memberi keupayaan untuk menyahaktifkan ketersediaan e-skuter berkenaan melalui aplikasi Beam.
Peluang Pekerjaan Sebagai Beam Rangers
Ekonomi sambilan di Malaysia juga dapat menimba manfaat daripada pembukaan gudang sentral baharu oleh Beam, kerana ia merungkai peluang buat penduduk tempatan untuk mendapatkan pekerjaan sebagai Beam Rangers, iaitu pasukan kerja yang akan meronda kawasan Lembah Klang untuk mengambil, mengagih, dan menyelenggara e-skuter Beam bagi memenuhi keperluan pengguna awam dan juga standard keselamatan tertinggi seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Inisiatif ini juga menjadi sebahagian daripada penglibatan Beam dalam program eRezeki oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), dirumus khas untuk menjana peluang pekerjaan dalam ekonomi perkongsian.
Akhir sekali, gudang sentral tersebut juga akan terus membantu Beam menunaikan komitmennya dari sudut ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus). Sekiranya ada komponen yang tidak lagi diperlukan selepas kerja membaik pulih, Beam akan menghantarnya kepada rakan kongsi mereka untuk memastikan ia dikitar semula dengan selamat dan sewajarnya, sekali gus meminimumkan pembaziran.
Beam merupakan pengendali yang memiliki perakuan Neutral Iklim sejak tahun 2019. Bagaimanapun, ia telah berjanji untuk mengangkat komitmennya terhadap bumi ke aras yang lebih tinggi dengan mencapai aspirasi Negatif Iklim menjelang tahun 2025 menerusi aneka usaha sama strategik bersama organisasi-organisasi sehaluan, juga menerusi penyelidikan, dan dengan terus berpegang kepada amalannya yang berpaksikan kelestarian alam.
1 Comments
terbaek..
ReplyDeleteterima kasih kerana meluangkan masa membaca dan meninggalkan komen.