Saya masih setia menunggu di
persisiran pantai. Sekadar menguis deburan pasir yang ada untuk menghilangkan
kegelisahan yang sedang beraja. Mata masih meliar mencari susuk tubuh tinggi
yang tadi berjanji mahu berjumpa di sini. Deburan pasir sudah mula memenuhi selipar
yang saya pakai. Jam sudah menunjukkan angka lima. Ini bermakna saya sudah
berada disini sejak lima belas minit yang lalu. Saya tidak pasti dia benar –
benar mahu kotakan janji atau sekadar mahu permainkan saya. Dua puluh minit
saya masih menunggu dengan penuh sabar dan debar. Saya masih meletakkan harapan
yang tinggi agar dia datang ke pantai petang ini.
Meski waktu sudah mulai merangkak
mahu mengejar senja, bahang mentari tetap memanah saya tanpa rasa bersalah.
Saya sudah mulai berpeluh. Saya bernasib baik kerana baju rona hitam yang
dipakai telah menyembunyikan peluh yang terbit. Akhirnya saya berhenti menguis
pasir. Saya mengetuk selipar agar deburan pasir bertaburan jatuh ke tempat
asal. Saya mula menapak mencari bangku yang paling dekat untuk duduk sebentar
melepas penat dan sedikit keluh yang dikendong sepanjang bahang menunggu sambil
menguis pasir.
Saya memilih untuk duduk di
bangku paling hujung kerana kedudukannya lebih strategik untuk memandang pantai
dan menikmati pengunjung petang itu.
Awak, maaf saya lambat.
Saya terkejut dan hampir menutur
kata yang tidak sepatutnya. Nasib baik saya masih mampu menahan suara dari
terus tersembur keluar.
Saya betul – betul minta maaf
awak. Saya lupa saya ada janji dengan kawan tadi. Tu saya jumpa dia dulu baru
jumpa awak. Sebab nak jadikan awak orang terakhir yang saya jumpa. Maaf ye
awak. Dia senyum semanis – manisnya sehingga mengalahkan buah kurma.
Saya tewas lagi.
Saya seperti biasa. Bertanyakan
soal hidupnya secara rambang. Seboleh – bolehnya saya tidak mahu menyentuh soal
peribadi dia. Bagi saya, adalah tidak manis jika saya bertanyakan hal peribadi
orang lain meski dia orang istimewa dalam hati saya. Saya cuba untuk mengawal
emosi walaupun hati saya meronta – ronta ingin tahu. Saya berpendapat, mungkin
ada baiknya jika saya tidak mengetahui sebarang hal peribadi agar saya tidak
merosakkan hubungan yang terjalin ini. Saya sekadar positif untuk melenyap rasa
tidak keruan.
Jingga sudah mahu menyelimut langit.
Saya mengajak dia untuk pulang. Cukuplah perbualan untuk hari ini. Saya
berharap, saya masih berpeluang menatap wajahnya di lain waktu. Saya sudah
berjanji, wajah ini yang akan saya belai pada masa depan kelak. Itu janji saya.
Selebihnya saya serahkan kepada Tuhan kerana Tuhan lebih mengetahui perjalanan
hidup saya. Saya sekadar merancang mengikut keinginan hati sedang Tuhan lebih
mengetahui apa yang lebih baik untuk diri. Saya akan bersangka baik.
Saya menghantarnya pulang ke
motor sehinggalah bayang motornya mengecil jauh. Saya senyum. Dia adalah
perhubungan paling lama sepanjang saya pernah bercinta. Saya cuma khuatir, dia
akan berpaling mencari yang lain. Burung mencicip mahu pulang ke sarang. Saya
sedar dari khuatir yang panjang dan terus menapak pulang. Demi Tuhan saya tidak
mahu kehilangan dia seperti saya kehilangan lelaki dalam hidup saya.
Kipas ligat berpusing menyamankan
saya sekadarnya. Memori lama mula berputar – putar membentuk persis kipas yang
mententeram.
Awak, maafkan saya. Sebenarnya
saya sudah lama menyimpan perasaan dekat awak semenjak awak tunjukkan saya
soalan matematik pada hari pertama saya pindah ke sekolah baru. Maafkan saya sekali lagi kerana tidak pernah
meminta izin untuk menyimpan rasa yang datang.
Saya tergamam kaku bila dia
mengatakan suara hati. Saya kaku pegun. Pegun untuk beberapa detik. Sehinggalah
dia menyedarkan saya untuk sedar dan kembali ke alam realiti. Saya angguk tanpa
sedar. Pada hari itu dialah orang paling gembira. Dalam kegembiraan itu, tak henti
– henti tohmahan terlempar perit di hati saya. Orang sekeliling tak langsung
merestui hubungan kami.
Saya pernah dilempar dakwat biru
sehingga mengotori pakaian sekolah kemudian dituduh guru tidak berdisiplin.
Saya malu. Orang sekeliling betul membenci saya. Saya salahkan Tuhan atas
keperitan yang saya lewati. Mujur dalam saya menyalahkan Tuhan Dia masih
merestui kami. Terima kasih Tuhan kerana menghadiahkan saya hadiah tidak
ternilai. Sepanjang saya menerima kecaman, dia orang yang paling ada menjadi
tembok paling dari terus dicerca. Saya percaya, dia adalah utusan dari Tuhan
untuk menyelamatkan saya dari terus sakit.
Saya kembali ke dunia sedar
apabila telefon saya berdering memecahkan buih – buih memori yang sedang
berkembang. Pantas saya menggelongsor skrin telefon untuk menjawab panggilan.
Assalamualaikum. Oh iye ke? Saya
tak perasan pula awak ada tinggalkan saya dengan sepucuk surat. Barangkali saya
terlalu asyik meraih wajah awak dalam ingatan saya. Maaf. Baiklah saya akan
baca sekarang. Waalaikumsalam.
Hati saya berdebar. Semakin kuat
pula saat saya merangkulnya dari beg rona hitam di belakang pintu. Saya tidak
tahu adakah saya patut baca surat itu sekarang atau esok. Hari juga sudah lewat
malam. Saya takutkan kehilangan. Waima mimpi yang hilang pun saya terketar mahu
bangkit. Saya seorang perempuan yang mengalami thantophobia. Demi Tuhan,
sangkalkanlah perasaan yang menjalar dengan sengaja ini. Perlahan saya membuka lipatan surat itu.
Awak, saya rasa cukup sampai disini hubungan kita. Saya pasti ini jalan
terbaik. Perasaan saya pada awak semakin berkurangan persis langit yang kehilangan
awan hitam ketika hujan. Saya sudah jumpa pengganti awak jauh lebih baik. Saya
minta maaf atas keterbukaan saya dalam kejujuran ini. Saya tahu berat hati awak
mahu terima. Saya mahu awak sedar dan berdiri secara nyata. Saya mahu awak
bangun dan jangan lagi bermimpi. Saya mungkin tidak layak bergandingan dengan
awak. Saya tak mampu lagi mahu menjaga awak. Awak banyak kekurangan. Semenjak
saya dengan awak, saya kehilangan kawan – kawan yang selama ini rapat dengan
saya. Saya pertahankan awak setiap kali orang hina awak. Untuk kali ini, saya
mengaku kalah.
Saya penat. Saya dah tak mampu jadi pelindung awak setiap kali orang
menjatuhkan awak. Saya turut sama rasa jatuh. Saya bukan lelaki yang baik.
Kekurangan awak sedikit pun tak pernah melengkapkan saya. Selama saya dengan
awak, keyakinan saya hilang semahu – mahunya. Saya lepaskan awak dengan cara
baik. Demi Tuhan, bukan awak yang layak dihati saya. Awak sekadar persinggahan
untuk kehidupan saya yang lebih baik. Terima kasih kerana mengajarkan saya beberapa
perkara tentang kehidupan yang kejam. Semoga ada yang terlahir untuk menjaga
dan menerima awak apa adanya. Saya undur diri.
Saya sudah tak mampu menuturkan
apa – apa juga kata. Saya menjadi manusia bisu untuk beberapa detik. Sekarang saya sudah tahu apa makna menjadikan saya sebagai orang terakhir. Hanya
putaran kipas yang nyaring menyumbat telinga. Selebihnya saya tidak tahu. Saya
hilang arah. Butiran air dari empangan mata jatuh berderai tanpa dipinta. Saya
menikmati setiap kejatuhannya dengan kekuatan yang entah datang dari mana. Saya
tertidur tanpa diganggu mimpi yang celaka.
Usai pulang dari kerja, saya kembali semula ke pantai
petang ini. Bukan untuk menuntut janji atau memulangkan sepucuk surat yang
digenangi air mata. Tetapi untuk melepaskan beban yang sarat menumpang di bahu.
Saya mencari pasir yang sudah dibasahi ombak pantai dan seketul batu. Saya mahu
ukirkan kehilangan disini. Langit petang dan puing ombak kan menjadi saksi
kehilangan semalam. Saya sudah menggumpalkan kesal dan melepaskan keluhan kepada
Tuhan. Semoga tiada hijab dan Tuhan mendengar dengan penerimaan.
Amira + Qayyum
Saya menapak ke belakang dengan
bahu yang sedikit ringan daripada biasa. Puing ombak menghanyutkan tulisan yang
saya ukir pada debuan pasir. Langit redup merestui kehilangan yang saya umumkan
pada dunia. Angin sederhana membelai pipi saya yang digenangi air mata.
Barangkali meminjamkan kekuatan sementara saya menikmati hakisan ukiran yang
tak seberapa.
Saya bebas! Saya mungkin tak
sempurna pada mata tapi saya punya sekeping hati yang mahu dicintai. Saya
tinggalkan pantai dengan seribu kenangan. Tidak ada satu pun yang dibawa
pulang. Biar angin bawa semua kenangan ke laut China Selatan. Saya tidak akan
berpatah semula mengutip serpihan yang tertinggal.
1 Comments
fuh...munusuk jiwa
ReplyDeleteterima kasih kerana meluangkan masa membaca dan meninggalkan komen.