Warkah Dari Tuhan di Kafe

Warkah Dari Tuhan 

Warkah Dari Tuhan di Kafe

Ainun sedang menghirup baki kopi latte yang dipesan. Pendingin hawa yang sedang bekerja menghembus dingin sedikit pun tidak mengganggu konsentrasinya menikmati hangat latte. Diluar hujan sedang mencurah. Kata - kata yang meluncur laju dari mulut Fahrin memang betul - betul terlekat kemas pada ingatannya. 

Sejak dicemuh, Ainun banyak bersendirian mengenang nasib. Dia keseorangan. Ainun sudah tidak percayakan sesiapa lagi. Dia terlalu takut mahu meletakkan harapan dan kepercayaan kepada manusia. Baginya manusia mudah mematahkan janji dengan mudah. Digertak sikit, habis bertaburan rahsia - rahsia yang tersimpan tidak kemas. 

Ainun masih punya Tuhan. Tapi Tuhan tidak berfizikal. Ainun tak mampu memeluk Tuhan saat sendiri. Mahu dipeluk manusia, Ainun sudah serik. Takut yang disimpan didada terluah semua. Takut manusia dapat membaca detak hati yang sedang gemuruh dengan masalah. Ainun sudah serik!

--
Ainun, kau kena sedar diri. Kau perempuan yang memang tidak ada apa Ainun. Kau sedang hidup bahagia dengan fantasi - fantasi pelangi semata. Kau murahan dimata lelaki. Kau itu kudung jari Ainun. Tak mungkin ada lelaki yang merencana mahu sehidup semati dengan perempuan seperti kau. Malu Ainun mahu berdiri sama tinggi. Malu. Lelaki keparat yang mendampingi kau cuma mahukan hidupnya cukup makan cukup pakai. Kau boleh bayangkan nanti, sebuah perkahwinan yang gagal ketika majlis menyarung cincin. Jari kau mana Ainun? 
Mereka bukan ikhlas hati membagi - bagi waktu untuk kau. Mereka terpaksa. Kerana kau membeli waktu mereka dengan wang, pakaian dan makan cukup adanya. Kau tidak ingat apa yang Malik seloroh waktu kita sedang menikmati tengahari di Kopitiam Pak Li? Perempuan yang memikat hatinya ialah perempuan yang sempurna seluruhnya di mata dia. Dia berseloroh tanpa fikir kau kan? Dia munglkin terleka ketika sedang menjamah tubuh wanita yang lalu dihadapannya ketika itu. Kau tak sedar bukan? Kau fikir Malik bergurau, dan kau senang hati terima. Malik juga. Dia lupa kau ada. Dia lupa kau lah yang akan membayar makan tengahari waktu itu. 
--

Ketika kata - kata Fahrin melintas di benak, ada air mata yang gugur. Dari jauh ada lelaki sedang memerhatikan Ainun. Di tangannya ada senaskah buku. Dia memang tidak pernah ada kena mengena dengan Ainun. Malahan siapa Ainun juga dia tidak tahu. Beberapa hari ini, Ainun kerap dilihat duduk di kafe ini sendiri dan menikmati Latte seperti selalu. Menunya sama. Tidak pernah bertukar. 

Ainun tidak pernah perasan akan kehadiran lelaki itu. Baginya orang asing tidak perlu diambil peduli. Ainun juga jarang memerhati sekeliling. Dia hanya menikmati latte, dan muzik yang dimainkan asyik. Seterusnya dia berkhayal sendiri. Lama juga Ainun berkeadaan sedemikian. Sehinggakan pelayan sudah tidak perlu bertanyakan menu yang akan dipesan Ainun. Mereka sudah hafal menu yang Ainun inginkan. 

--

Kehadapan wanita yang ku kasihi, Ainun
Saat kau membaca warkah ini, aku tak lagi memerhatikan kau sepanjang lewat petang sehingga kau pulang. Aku bukan jemu. Cuma sudah sampai waktu aku rehatkan kan mata dari terus memerhatikan wajah sugul yang sering kau pakai ketika bertandang di kafe menikmati latte. Hati ku jadi sendu melihat kau berterusan seperti itu selalu.  
Aku jadi seperti tidak punya kekuatan meminjamkan senyumanku untuk kau pakai. Aku takut kau tidak mahu menerima keadaanku yang tidak seperti lelaki lain yang sering menghias hidupmu. Semenjak kau sering datang lewat petang, aku jadi mahu ambil tahu siapa wanita ini. Menu yang dipesan hari - hari sama dan tak pernah berubah. Wajahnya juga sama. Selalu masam mencuka seolah ada sesuatu yang berat mengganggu fikiran.
Akhirnya aku mengambil keputusan untuk bertanyakan siapa namamu pada pelayan perempuan yang sering menghidangkan latte di meja 6 di sudut hujung. Ainun. Ya Ainun. Itulah kali pertama aku mengetahui siapa namamu. Ainun ~  
Namamu terus melekat ketat dalam hati. Jadi, aku terus menulis warkah ini. Aku mahu memberi kau kekuatan yang sedang musnah dalam diri. Aku mahu kau senyum kembali. Tentu manis ya Ainun. Waktu kau menghirup cawan latte, lama aku perhatikan. Baru aku tahu keadaan kau bagaimana. Ada yang cuba kau sembunyikan. Aku berusaha mencari siapa kau. Jangan takut, aku tidak akan membuat perkara yang bukan - bukan. Aku ikhlas.  
Baru aku tahu. Kenapa kau begini. Ada yang cuba meremukkan hati kecil yang sedang kau jaga. Bagaimana ya. Aku juga tiada apa - apa. Aku tidak mampu bahagiakan dan memberi kau senyum seperti lelaki yang pernah memberi kau senyuman dulu. Aku berdiri pun tidak mampu.  
Ainun, jangan terus menyakiti hati yang sedang kau jaga. Mereka tidak tahu, kau berperang dengan diri sendiri. Aku tahu, kau banyak menabur wang untuk membeli masa seorang lelaki. Aku tahu. Ainun, jangan sedih ya. Masih ada lelaki yang mahu mendampingi kau seadanya. Jari yang tidak cukup itu akan memberi bahagia yang tidak diketahui orang. Ainun, jangan malu ya.  
Tuhan ada. Tuhan memang tidak akan menyamankan perasaan kau ketika kau sedang menangis. Tuhan memang tidak akan memberi kau kekuatan. Kau cuma boleh melemparkan doa penuh kusyuk untuk dihantar ke atas langit dan menyimpan harapan yang tinggi. Jangan berputus asa ya Ainun. Tuhan akan memelukmu ketika kau sedang bermimpi.  
Ainun, sudah sampai masanya aku mengakhiri warkah ini. Aku sudah lama memerhatikan cinta yang sedang bermurung. Sudah lama aku menghantar doa kepada Tuhan untuk memberi aku sisa kebahagiaan yang pernah hilang dalam jiwa ini. Aku kematian isteri dua tahun yang lalu akibat kemalangan. Semenjak itu, aku adalah pelanggan setia kafe ini. Mungkin Tuhan sedang mengambulkan doaku secara perlahan. Dan akhirnya aku melihat cinta tanpa sedar disini. Aku adalah lelaki dengan sebuah kerusi roda mahu melamarmu menjadi sebuah cinta yang akan ku lihat pada setiap pagi ketika aku membuka mata dan menutup mata setiap hari. Kau sudi menerima kekurangan ini? Kerana akulah yang akan menyempurnakan senyuman yang pernah hilang di wajah dan membaikpulih hatimu yang telah dirosak lelaki. Aku mahu jadi lelaki yang kau simpan di dalam hati. Aku bersedia menerima kekuranganmu.

Post a Comment

2 Comments

  1. jiwa wanita rapuhnya hanya pencipta-NYA yg memahami..great piece of advice indeed :)

    ReplyDelete

terima kasih kerana meluangkan masa membaca dan meninggalkan komen.