Jalan tembok

 
 
Kiblat kapitalis ialah di Jalan Tembok. Di Jalan Tembok inilah hampir segala isi bumi didagangkan. Di Jalan Tembok, beberapa ekor yuppie sedang bergayut di telefon bercakap tentang harga ayam, harga itik, harga petrol, harga besi, semua benda, semua perkara. Dan di Jalan Tembok inilah - segala maklumat berselirat. Ini zaman Revolusi Industri Maklumat. Segala apa yang diniagakan berdasarkan maklumat. Di Jalan Tembok inilah kekuatan empayar kapitalisme. Kalau kekuasaan empayar Roma dapat dilihat Colleseum, empayar Amerika ialah di Jalan Tembok. Seribu tahun lagi Jalan Tembok adalah kota peninggalan macam kita tengok runtuhan kota lama Athens atau Roma, atau Machu Piccu. Kalau buku sejarah kita atau anak kita bercerita tentang Julius Caesar, Alexander dan Gengkhis Khan, anak-anak Ubermensch akan bercakap tentang empayar Rothchilds, Bill Gates, Steve Jobs, Mark Zuckerberg (walaupun empayar gajet dan teknologi di Lembah Silikon di California).
Jalan Tembok mahukan rejim baru di Malaysia. Dasar ‘Pasak Asia’ memerlukan macai baru Jalan Tembok. By hook or by crook dasar ini perlu dijalankan demi untuk bersaing dengan kuasa lama yang selama separuh alaf mengamalkan dasar tutup pintu. Middle Kingdom sedang bangkit di Asia. Jalan Tembok mahu terus kekalkan hegemoni.
Aku melihat usaha menjatuhkan Najib Razak ini bukan sekadar Dr M nak anak dia naik cepat, atau Rosmah nak beli Birkin baru, atau Hadi Awang nak tangkap orang jual pil kuda, aku melihat ini satu konteks yang lebih besar. Perang di Timur Tengah tidak lagi menguntungkan. Inilah medan seterusnya untuk dijarah.
Bagai orang biasa di negeri tanah hujung macam aku ini, aku tahu, siapapun menang jadi penghulu di negeri ini tidak kira siapa sosoknya, bahana akan tetap muncul juga. Tapi, aku rasa kenapa Najib harus berambus dari Putrajaya, kerana dasar ekonominya menyusahkan orang ramai, walaupun konon-konon prihatin seperti BR1M dan sebagainya. Berapa ramai orang hilang daya kuasa beli dari dasarnya. Bagi aku dasar ekonomi Najib yang kelaut ini sudah melangkau ke tahap personal.
Aku tahu Dr Mahathir juga bukan insan suci mana, dan Muhyiddin bukan sosok yang boleh dipercayai. Tapi Najib Razak harus diganti. Entah siapa aku tak pasti.
Jalan Tembok juga bersependapat dengan aku bahawa Najib harus diganti. Soalnya, kerana apa? Sementara aku insan yang tak ada apa-apa ini cuma mahu keamanan dan kemakmuran, Jalan Tembok mahu menjarah negara ini. Seperti Portugis datang berlayar circa 1511, seperti Belanda datang circa 1628, seperti Francis Light mendarat di Pulau Pinang, dan seperti askar Jepun menaiki basikal dari Siam menuju negeri ini.
Selama seribu tahun tanah emas ini menjadi pusat perdagangan yang sibuk dan menguntungkan. Aku percaya lagi seribu tahun juga begitu. Kita seharusnya jadi bangsa yang kaya, yang bertamadun dan memberi sumbangan sesuatu pada dunia. Apa ciptaan kita pada dunia?
Melihat keadaan Malaysia hari ini mungkin sama seperti jika aku sedang hidup di Melaka pada 1511. Hanya menanti masa, bila akan terjajah kembali, atas kelemahan sendiri.
 
 
 
Cukong Press

Post a Comment

0 Comments