Jom Kenali Siapa Qarin

Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia. Boleh dikatakan ia sebagai kembar manusia. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada Qarinnya sendiri. Rasulullah s.a.w sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, Qarin Rasulullah adalah Muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.  Pada umumnya Qarin yang kafir ini kerjanya mendorong dampingannya membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan solat, berat nak baca Al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan.  Untuk mengimbangi usaha Qarin ini Allah utuskan malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat. Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh Qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca “Bismillah” sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca Al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah. Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiada seorang pun daripada kamu melainkan sudah diwakili bersamanya Qarin daripada jin dan malaikat.” Mereka bertanya: “Engkau juga ya Rasulullah?” Sabdanya: “Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat ku islamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja.” (Hadith Riwayat Muslim dan Ahmad)
Aisyah r.a menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah s.a.w keluar dari rumahnya (Aisyah), lalu Aisyah berkata: “Aku merasa cemburu.” Tiba-tiba Baginda s.a.w berpatah balik dan bertanya: “Wahai Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?” Aku berkata: “Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah.” Sabda Baginda s.a.w: “Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitan?” Aku bertanya: “Apakah aku ada syaitan?” Sabda Baginda s.a.w: “Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin.” Aku bertanya lagi: “Adakah engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?” Jawab Baginda: “Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam.” (Hadith Riwayat Muslim).Qarin akan berpisah dengan kembarnya hanya apabila manusia itu (kembarnya) meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan Qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi Qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan yang dilakukan manusia itu.

Post a Comment

0 Comments